KENALI HOMESTAY KOTA KLIAS
Kampung Kota Klias
HOMESTAY KOTA KLIAS telah didaftarkan di bawah Kementerian Pelancongan Malaysia sebagai penyedia kemudahan perkhidmatan kepada pelancong di bawah Program Homestay Kebangsaan.
Homestay atau Inap Desa ini juga adalah yang pertama dan baru ditubuhkan di Daerah Beaufort dengan kapasiti 10 buah rumah untuk penginapan pelancong yang tiba ke Kampung Kota Klias dan Beaufort.
Antara perkhidmatan yang disediakan Homestay Kota Klias adalah seperti berikut:-
1. PERKHIDMATAN RUMAH PENGINAPAN
Homestay Kota Klias menyediakan sebanyak 10 buah rumah untuk pelancong dan pelawat menginap di Kampung Kota Klias. Pelawat akan tinggal bersama dengan 'tuan rumah' sebagai keluarga angkat atau lebih dikenali sebagai keluarga Homestay.
Pelawat dalam kumpulan kecil akan melakukan aktiviti dan makan minum bersama dengan keluarga angkat masing-masing supaya lebih berpeluang untuk beramah mesra dan mengetahui lebih lanjut latar belakang kehidupan keluarga angkat mereka.
2. PERKHIDMATAN KEPADA PENGKAJI AKADEMIK
Untuk tujuan tersebut, HOMESTAY KOTA KLIAS menyediakan beberapa responden dalam bidang kebudayaan/adat resam suku kaum Brunei khususnya yang menetap di Kampung Kota Klias. Selain itu, mereka juga boleh membuat kajian tentang ekonomi penduduk yang bekerja sebagai petani(sawit) peniaga dan lain-lain.
MATLAMAT PENUBUHAN
HOMESTAY KOTA KLIAS
1. Mendedahkan kejayaan dan keunikan Kampung Kota Klias kepada para pelawat dari dalam dan luar negara.
2. Memberi kerjasama dan perkhidmatan diperlukan kepada para penyelidik/ pengkaji akademik kolej dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam kajian berbagai bidang diperlukan, seperi penduduk, ekonomi dan latar belakang kampung ini.
3. Memberi peluang sumber pendapatan tambahan kepada penduduk yang terlibat dalam program ini.
4. Meluaskan pasaran dan menambah pendapatan pengusaha-pengusaha Industri Kecil Sederhana (IKS) kampung ini.
5. Memberi peluang kepada anak-anak penduduk yang telah berjaya dalam berbagai bidang serta bekerja diluar kawasan kampung, memberi pandangan dan fikiran serta kerjasama bagi memajukan kampung mereka.
6. Mengeratkan kerjasama sesama penduduk dan semua badan / pertubuhan NGO yang wujud di kampung ini.
7. Melahirkan rasa kasih sayang dan cinta kepada kampung serta keluarga bagi mereka yang menetap dan tinggal di luar kawasan.
8. Mempamer dan mengekalkan seni budaya atau adat resam penduduk berunsurkan keagamaan melalui aktiviti persembahan dirancang kepada para pelawat Homestay Kota Klias.
9. Mewujudkan persefahaman dan perpaduan berbilang kaum.
ADAT DAN BUDAYA PENDUDUK
KAMPUNG KOTA KLIAS
Kampung Kota Klias merupakan kampung tradisional di mana penduduknya masih berpegang teguh kepada adat budaya dan ajaran agama masing-masing. Namun penduduk kampung ini tetap menerima kedatangan pelawat dari luar yang mempunyai adat budaya tersendiri.
Demi menjaga hubungan baik dan keselesaan kedua belah pihak sepanjang lawatan dan bersama 'keluarga angkat' makan di bawah ini dicatatkan secara ringkas adat dan budaya penduduk Kampung Kota Klias untuk perhatian dan tindakan para pelawat sekalian.
1. Pelawat atau pelancong digalakkan memberi salam mengikut kepercayaan agama masing-masing kepada penduduk atau keluarga angkat.
2. Pelawat adalah DILARANG membawa barangan dilarang menurut undang-undang negara seperti senjata, dadah dan seumpamanya, termasuk sebarang jenis minuman keras ke rumah keluarga angkat dan sepanjang lawatan.
3. Pelawat hendaklah menghormati ibadat semua penduduk berbilang kaum Kampung Kota Klias dan tidak menimbulkan sebarang gangguan ke atas mereka semasa melakukan ibadat masing-masing.
4. Pelawat hendaklah berbudi bahasa yang baik dengan semua pihak sepanjang lawatan.
No comments:
Post a Comment